Sabtu, 17 Disember 2016

Bola Sepak Piala FA -- Jengking yakin atasi Kedah Ansell

ARKIB : 17/03/2000
SKUAD Jengking yakin dapat menewaskan Kedah Ansell pada Piala FA, Sabtu ini di Stadium Larkin, Johor tetapi bimbang kerana empat pemainnya mendapat kad kuning semasa pusingan pertama di Kedah minggu lalu, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih, Steve Darby memberitahu, empat pemain itu ialah Roslan Hamid, Liew Kim Tu, Jasmi Mohamad dan Nazreen Tee Abdullah.

''Sekiranya mana-mana pemain mendapat satu lagi kad kuning, ia boleh menjejaskan perlawanan seterusnya terutama untuk berhadapan dengan Pahang,'' katanya.

Untuk itu, katanya, Johor perlu bermain dan memastikan memperoleh keputusan yang baik pada separuh masa pertama dan bertahan pada separuh masa kedua.

Beliau memberitahu, sekiranya keadaan itu berjaya dilaksanakan, pemain-pemain yang telah mendapat kad kuning sebelum ini akan direhatkan.

"Sekiranya formula itu tidak menjadi, kami tidak ada pilihan lain untuk menurunkan juga pemain-pemain tersebut dalam usaha mendapatkan kemenangan," katanya.

Pada perlawanan pusingan pertama menentang Kedah Ansell, Johor seri 1-1 dan Kim Tu telah menjadi penyelamat kepada pasukan Johor yang mendapat tentangan hebat Kedah Ansell.

Bagaimanpun, Darby yakin Johor mampu menewaskan Kedah Ansell untuk berhadapan dengan juara Liga Perdana Satu, Pahang dalam perlawanan seterusnya sekiranya Johor berjaya dalam perlawanan Sabtu ini.

Sementara itu, dua lagi pemain Piala Presiden yang akan bersama dengan skuad itu ialah Fuad Yusof dan Helmi Yusof, sebelum itu Yusrisham Yusof telah dimasukkan ke dalam skuad Johor tetapi tidak dapat diturunkan kerana pendaftarannya baru dilakukan. (Ketiga-tiga pemain itu tidak mempunyai pertalian persaudaraan)

Darby memberitahu, dia mempunyai 16 pemain yang handal sebagai kesebelasan utama bagi memastikan kejayaan.

Katanya, sekira pemain-pemain yang turun semasa menentang Kedah Ansell berjaya mengekalkan rentak itu, beliau yakin Johor tidak mempunyai masalah untuk mencipta kemenangan.

Pemain-pemain Johor diberikan cuti rehat, semalam sempena dengan sambutan Hari Raya Haji.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4T6qFPcH5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan