Khamis, 15 Disember 2016

Kehadiran Roslan beri semangat baru pada Jengking

ARKIB : 22/02/2000
KEHADIRAN semula bekas ketua pasukan Johor, Roslan Hamid dalam skuad Jengking memberi harapan baru kepada jurulatih, Steve Darby untuk membawa pasukannya mengharungi musim baru cabaran bola sepak Liga Perdana yang bermula bulan depan.

Ia sekali gus menjadi pengganti kepada Idris Karim yang berhijrah ke Pahang pada musim ini.

Darby berkata, Roslan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan membanggakan sesuai dengan kedudukannya sebagai pemain tengah yang akan menjadi penggerak utama dalam skuad tersebut.

Katanya, pemain berpengalaman yang sebelum ini bermain untuk pasukan Perak itu juga mempunyai tahap kecergasan yang baik walaupun telah menjangkau usia 33 tahun.

Beliau memberitahu, Roslan juga telah menunjukkan permainan yang baik semasa perlawanan persahabatan dengan Telekom Melaka, Sabtu lalu.

Roslan yang berganding dengan Nazreen Tee Abdullah yang bermain untuk Terengganu dan Perlis sebelum ke Johor telah menunjukkan kombinasi yang baik dalam perlawanan itu walaupun tewas 1-2.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jengking akan mempunyai seorang lagi pemain baru iaitu Yusrisham Yusof yang telah memberikan khidmat di Kelantan sebelum ini.

Pemain yang berasal dari Johor itu telah bersama dengan skaud Jengking dalam sesi latihan di gimnasium pagi semalam yang telah diadakan di Stadium Larkin, Johor.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SxCZNZkk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan