Khamis, 8 Disember 2016

Bekas penyerang Johor FC sertai Jengking

ARKIB : 22/09/1999
KEHADIRAN Sheikh Ahmad Redzuan yang kini menyarung jersi skuad Jengking dijangka mempertajamkan jentera serangan Johor bersama Rosdee Sulung dan Hashim Mustapha pada Piala Malaysia bertemu Pahang Sabtu ini.

Dia yang ditemui nyata gembira dapat bersama dengan skuad negeri dan berkata, peluang tersebut sememangnya dinanti-nantikan.

Katanya, keinginan yang tinggi itu dibuktikan dengan menolak tawaran bagi menyertai skuad negara untuk menghadapi Kejohanan Futsal yang akan diadakan di Singapura tidak lama lagi.

Dalam pada itu, jurulatih Johor, Steve Darby berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh bekas penyerang Johor FC itu dalam latihan pertamanya itu dan akan berganding dengan bekas pemain kebangsaan Rosdee Sulong dan Hashim Mustapha.

Darby juga menasihatkan para pemain skuad Jengking mendapatkan rawatan dari doktor bertauliah dan tidak mengambil ubat tradisional yang boleh diperoleh daripada kedai-kedai ubat apabila mengalami kecederaan atau sakit.

Beliau berkata, daripada pengawasannya, terdapat pemain-pemain skuad tersebut yang suka mengambil ubat tradisional dan ubat yang dijual di kedai-kedai ubat yang diragui kandungannya.

Katanya, terdapat juga ubat-ubat yang mengandungi bahan-bahan yang terlarang seperti pseudoephephedrine yang banyak terdapat pada ubat-ubat bagi mengubati demam.

''Adalah lebih baik dan selamat bagi para pemain mendapatkan ubat dan rawatan doktor pasukan," katanya semasa mengadakan latihan di Stadium Pasir Gudang, Johor, pagi semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Muhammad Ali Hashim berkata, peletakkan jawatan jurulatih, Ronald Smith sedikit sebanyak mempengaruhi kemajuan pasukan Johor FC.

Namun, katanya, kehadiran Johor FC dapat memberikan daya saing kepada pasukan-pasukan lain dan ia merupakan satu kemajuan yang membanggakan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SGQBy4jr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan