Ahad, 11 Disember 2016

Harapan Johor musnah

ARKIB : 01/11/1999
KEKALAHAN 2-0 Johor kepada Sarawak dalam perlawanan kumpulan B di Kuching kelmarin telah memusnahkan harapan juara Perdana Dua itu untuk ke separuh akhir Piala Malaysia.

Dengan kekalahan itu, Johor kekal tanpa sebarang kemenangan dalam semua empat perlawanannya di tempat lawan setakat ini.

Jurulatih Steve Darby berkata beberapa pemainnya tidak menunjukkan persembahan seperti yang dijangkakan tetapi beliau enggan menamakan mereka.

"Saya tidak suka menyalahkan pemain tetapi beberapa pemain saya menunjukkan persembahan buruk yang menyumbang kepada kekalahan kami. Tetapi pada masa yang sama Sarawak memang patut menang," kata Darby.

Sarawak merupakan pasukan penyerang yang baik, kata beliau sekembalinya dari Kuching semalam.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu bagaimanapun berkata walaupun harapan ke separuh akhir itu sudah musnah, Johor akan terus mencari kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Johor akan berusaha untuk menang dalam semua perlawanan yang masih ada untuk menjaga maruah," katanya.

Johor akan bertemu Sabah di Stadium Larkin pada Selasa dan berharap untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dalam perlawanan kumpulan B Piala Malaysia.

Dalam tiga perlawanan di tempat sendiri setakat ini, Johor mengalahkan Sarawak 2-1 dan Kuala Lumpur 3-1 serta seri 1-1 dengan Pahang. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SXc2quKm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan