Ahad, 11 Disember 2016

Rizal, Idris bakal kemudi gerak gempur Johor

ARKIB : 23/10/1999
SKUAD Johor mempunyai tugas berat untuk menjinakkan Pahang pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin malam ini, lapor AINOL AMRIZ ISMAIL.

Johor meletakkan harapan ke atas dua pemain utama sebagai penggempur iaitu Rizal Zamrey Yahya dan Idris Karim yang akan bertindak mengelirukan barisan Pahang.

Ini dinyatakan oleh jurulatih Johor, Steve Darby semasa ditemui selepas pasukannya menjalani latihan di stadium sama, petang semalam.

Kata Darby, gandingan serangan itu akan memukau Pahang sementara pemain penyerang lain akan mengatur rentak membenam gawang dengan jaringan gol.

Pada sesi latihan itu, skuad Jengking turut menerima suntikan semangat dari jurulatih kebangsaan, Ronald Smith yang kebetulan berada di Johor untuk mengendalikan kursus Kejurulatihan Lesen Kelas C.

Kata Darby, kehadiran Smith yang juga bekas jurulatih skuad Johor FC itu telah menyemarakkan semangat anak buahnya dalam menggerak atur rentak menjelang perlawanan yang berlangsung malam ini.

''Skuad Jengking bersedia seratus peratus, semua pemain bebas daripada kecederaan dan sebarang kad kuning dan kita menggunakan sistem taktikal iaitu serang dari bawah ke kubu lawan tanpa henti,'' katanya yang ditemui pada sesi latihan, petang semalam.

Pada sesi latihan itu, Smith dan Darby berganding bahu melatih skuad Johor dengan pelbagai taktik terkini yang akan mengejutkan Tok Gajah pada perlawanan malam ini.

''Inilah masa terbaik untuk menewaskan Pahang yang kini menduduki tangga kedua dalam kumpulan B. Pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi, tambahan pula kehadiran Smith telah meniup semangat kepada pemain Jengking,'' katanya.

Bagaimanapun, Darby masih mengharapkan sokongan padu peminat pada perlawanan menentang Pahang untuk memastikan kemenangan dalam siri 'balas dendam' selepas Johor sebelum ini tersungkur tipis 0-1 kepada Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, bulan lalu.

Johor sebelum ini hanya memungut tiga mata hasil kemenangan di tempat sendiri, manakala tiga perlawanan lagi mengundang derita di tempat lawan dengan kekalahan 0-1 dengan Pahang, 1-3 dengan Brunei dan 2-3 ketika menentang Sabah.

Johor menang di Stadium Larkin semasa menentang Sarawak 2-1 dan minggu lalu menang ke atas Kuala Lumpur, 3-1.

Johor perlu memenangi semua baki perlawanan untuk menempatkan diri ke pusingan separuh akhir bagi mengembalikan taring Jengking memburu kemenangan Piala Malaysia terakhir abad ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SWwx5Zwq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan