Ahad, 4 Disember 2016

Johor mahu buka lembaran baru

ARKIB : 16/06/1999
HANYA kemenangan ke atas Perlis pada perlawanan terakhir di Stadium Larkin, Sabtu ini membolehkan Johor mengucapkan 'Selamat Tinggal' kepada Perdana Dua.

Selepas dua tahun beraksi dalam Perdana Dua, skuad Jengking kini berazam mahu membuka lembaran baru sekali gus memperbaiki statusnya sebagai pasukan utama dalam Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, impian itu hanya boleh dicapai sekiranya Johor mengatasi Perlis. Jika tewas atau seri ia hanya menggugat kedudukan untuk kembali secara automatik ke Perdana Satu.

Ini kerana saingan untuk dua tempat teratas dalam Perdana Dua masih sengit dengan Johor sebagai pendahulu memperoleh 36 mata diikuti Selangor (34 mata) dan Johor FC (33 mata).

Jurulatih Johor, Steve Darby berkata, jika percaturan terus ditumpukan dan dilakukan di atas kertas, berbagai keputusan boleh diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, percaturan atas kertas harus dilupakan seketika oleh anak-anak buahnya kerana misi yang lebih penting ialah mencatatkan kemenangan.

Beliau juga memberitahu, skuad Jengking akan kembali menurunkan penyerang utama, Hashim Mustapha pada perlawanan di Stadium Larkin, Sabtu ini.

Katanya, kecederaan yang dialami penyerang itu sudah pulih dan Johor akan bermain dengan corak permainan pantas sambil berhati-hati dengan corak lawan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4RsnfjoA2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan